Melakukan pembelian atas talian menjadi pilihan ramai pengguna kerana kemudahan dan kepelbagaian pilihan yang ditawarkan. Namun, terdapat cabaran dalam memastikan kualiti produk kerana pembeli tidak dapat melihat atau menyentuh barang secara langsung seperti di kedai fizikal.
Hal ini membuka peluang kepada segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab untuk menggunakan ulasan palsu (fake review) sebagai strategi menarik pelanggan. Malangnya, tindakan ini bukan sahaja melanggar etika perniagaan tetapi juga bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut infografik terbaharu di akaun Facebook Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, ulasan palsu adalah haram dan dianggap perbuatan menipu. “Sesiapa yang melakukannya wajib bertaubat kepada ALLAH SWT,” jelas kenyataan itu.
Penipuan Atas Talian yang Dimanipulasi
Ulasan palsu biasanya dilakukan dengan membeli produk sendiri dan meninggalkan ulasan positif untuk mencipta gambaran palsu mengenai kualiti barangan. Pelanggan yang tidak mengetahui kebenaran ini sering terpedaya.
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan bahawa perbuatan ini termasuk dalam penipuan yang digelar at-tadlis, iaitu menyembunyikan kecacatan barangan dan menghiasnya supaya kelihatan menarik di mata pembeli.
“Perbuatan ini sama seperti an-Najsh, di mana individu sengaja menawarkan harga tinggi tanpa niat membeli, hanya untuk meningkatkan nilai barangan tersebut di mata orang lain,” kata kenyataan itu.
Kejujuran dalam Perniagaan adalah Tuntutan Agama
Peniaga yang terlibat dalam amalan ulasan palsu dinasihatkan untuk segera bertaubat dan memadam ulasan palsu tersebut. Mereka juga disarankan memaklumkan kepada pelanggan bahawa ulasan yang ada mungkin tidak sahih.
“Walaupun ini mungkin membawa kerugian sementara dalam jualan, ia lebih baik daripada menanggung azab di akhirat,” titip Jabatan Mufti.
Sebagai pengguna, kita diseru untuk berhati-hati semasa membuat pembelian atas talian dan tidak mudah terpengaruh dengan ulasan yang kelihatan terlalu sempurna. Kejujuran dalam perniagaan bukan sahaja menjaga hak pengguna, tetapi juga memastikan keberkatan dalam rezeki. -sinarharian