Suami Isteri Ditahan Bersama 600 Bungkusan Air Ketum dan 71 Senjata Berbahaya

Air Ketum Rampasan: "Bungkusan air ketum yang dirampas di kediaman pasangan suami isteri di Bayan Lepas
Air Ketum Rampasan: “Bungkusan air ketum yang dirampas di kediaman pasangan suami isteri di Bayan Lepas

BAYAN LEPAS – Sepasang suami isteri ditahan polis bersama 600 bungkusan air ketum siap diproses di kediaman mereka di Lintang Bayan 6 pada pagi Isnin.

Dalam serbuan jam 9 pagi itu, polis turut merampas 71 senjata berbahaya termasuk pedang samurai, keris, dan kerambit serta dua mesingan automatik tiruan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Nermaljit Singh Bakhtawar Singh berkata, suspek lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, dan isterinya berusia 35 tahun, dipercayai terlibat bersama dalam kegiatan memproses air ketum.

Tempat Pemprosesan Ketum
“Kediaman jenis teres itu dijadikan tempat memproses air ketum sebelum diedarkan kepada pelanggan di kawasan Teluk Bahang dan George Town. Suspek mengedarkan air ketum menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.

Beliau menambah, siasatan mendapati suspek menyewa rumah tersebut sejak setahun lalu, namun aktif menjalankan kegiatan haram itu sejak tiga bulan lepas.

“Selain air ketum yang sudah dibungkus, polis turut menemui empat tong air dipenuhi bungkusan air ketum dan beberapa lagi disimpan dalam but kereta. Peralatan pemprosesan seperti tong gas LPG, periuk, dan sembilan tong air kosong juga dirampas,” katanya.

Senjata untuk Jualan Dalam Talian
Menurut Nermaljit, siasatan awal mendapati senjata-senjata berbahaya yang ditemui disimpan di sebuah bilik dan dipercayai untuk dijual secara dalam talian.

“Kita masih menyiasat pemilikan senjata ini dan penglibatan suspek dalam jenayah lain, kerana senjata seperti ini boleh mendatangkan kecederaan parah,” jelasnya.

Pendapatan Tinggi daripada Air Ketum
Dalam keterangannya, suspek mengakui mampu menjana pendapatan sehingga RM12,000 sebulan hanya dengan menjual air ketum.

“Ini adalah kali kedua suspek ditahan atas kesalahan yang sama. Dua tahun lalu, dia ditahan di Sungai Pinang atas kesalahan memproses dan mengedar air ketum,” tambah beliau.

Rumah suspek turut dipasang penghadang tinggi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan oleh jiran.

Polis kini meneruskan siasatan lanjut terhadap pasangan tersebut di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Senjata Berbahaya 1958. -sinarharian

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *