SEPANG – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, tiba di Malaysia pada Isnin untuk lawatan rasmi dua hari bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11.
Beliau bersama delegasi tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.15 petang menggunakan penerbangan komersial. Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, dan diberikan kawalan kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di Kompleks Bunga Raya.
Perbincangan Dua Hala dan Serantau
Lawatan ini merupakan kali kedua Lawrence Wong ke Malaysia sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura pada 15 Mei 2024. Esok, beliau akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, sebelum menghadiri mesyuarat delegasi bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wisma Putra memaklumkan, kedua-dua pemimpin akan membincangkan kemajuan hubungan dua hala dan isu serantau yang berkepentingan bersama.
Kerjasama Strategik dan Perjanjian Penting
Kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU), dan satu Surat Niat (LOI) melibatkan bidang pendidikan, kebajikan sosial, perubahan iklim, pembangunan bandar, dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
JS-SEZ dijangka memberikan manfaat besar kepada perniagaan dan rakyat kedua-dua negara melalui peningkatan aliran barangan, pembangunan bakat, dan kemudahan menjalankan perniagaan.
Hubungan Ekonomi Kukuh
Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura mengekalkan hubungan erat dalam pelbagai bidang. Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan dua hala mencatatkan AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat 6.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.-sinarharian