Kanak-Kanak Selamat Setelah Hampir Lemas Dibawa Arus di Pantai Gorongon

Pasukan Bomba: "Pasukan Bomba Putatan yang tiba di lokasi untuk melakukan pemeriksaan selepas kejadian."
Pasukan Bomba: “Pasukan Bomba Putatan yang tiba di lokasi untuk melakukan pemeriksaan selepas kejadian.”

PUTATAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berjaya diselamatkan oleh orang ramai selepas hampir lemas dibawa arus ketika mandi bersama lima rakannya di Pantai Gorongon, di sini pada Isnin sekitar jam 5 petang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.13 petang dan segera dikerahkan ke lokasi kejadian, yang terletak sejauh empat kilometer dari balai bomba.

Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya sedang mandi di pantai tersebut, namun dia telah dihanyutkan oleh arus ombak ke kawasan yang lebih dalam. Rakan-rakannya cuba untuk menarik mangsa, namun gagal. Mereka kemudian meminta bantuan orang ramai di kawasan berhampiran.

Empat lelaki dewasa segera berenang ke arah mangsa yang berada sejauh 50 meter dari pesisir pantai. Kanak-kanak tersebut sempat berpaut pada tong yang hanyut sebelum akhirnya dibawa ke pesisir pantai dengan selamat oleh orang awam.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian melakukan pemeriksaan terhadap mangsa. Noorsherriyana menyatakan bahawa mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada jam 5.43 petang. -Sinarharian

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *