KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal pada paras 4.21 hingga 4.22 berbanding dolar AS minggu depan, tetapi dengan kecenderungan meningkat terhadap dolar AS selepas data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat bagi September menunjukkan peningkatan mendadak kepada 254,000 pekerjaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata data pekerjaan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan dijangka meningkatkan daya tarikan terhadap unit negara maju itu.
“Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin akan mengambil pendekatan yang lebih teratur dalam pelonggaran monetari,” katanya kepada Bernama.
DISYORKAN : Sembilan petugas perubatan cedera dalam serangan ke atas hospital Lubnan
Menurutnya, laporan NFP yang memberangsangkan yang diumumkan pada Jumaat menandakan kekukuhan pasaran buruh AS, yang akan membolehkan Fed menaikkan kadar faedah secara beransur-ansur. Laporan itu juga menunjukkan kadar pengangguran AS susut kepada 4.1 peratus daripada 4.2 peratus.
DISYORKAN : Lelaki dicekup tidak sempat bawa barangan seludup
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata konflik di Timur Tengah terus mencetuskan faktor risiko utama, dengan harga minyak mentah Brent yang meningkat. Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, menyatakan bahawa dolar AS berada pada paras tinggi berikutan kenaikan harga minyak.
“Laporan pekerjaan yang mantap akan mempercepatkan kekuatan dolar AS, selari dengan data Fed, menandakan hala tuju pelonggaran sebanyak 25 mata asas yang stabil dan mengehadkan penurunan dolar AS menjelang pilihan raya.
“Pada masa ini, kita mungkin menyaksikan ringgit didagangkan pada tahap paling kukuh untuk tahun ini,” katanya.
Ringgit memulakan urus niaga pada minggu ini dengan kukuh, mencecah paras tertinggi sejak April 2021 pada 4.09 berbanding dolar AS. Ia muncul sebagai mata wang prestasi terbaik global berbanding dolar AS dalam tempoh tiga bulan pada awal minggu sebelum mengalami penurunan, di tengah konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit susut kepada 4.2155/2240 berbanding dolar AS, berbanding 4.1230/1280 minggu lalu, dan turut diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia susut berbanding euro, mengakhiri urus niaga kepada 4.6484/6578 daripada 4.6009/6064 minggu lalu, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8779/8839 daripada 2.8804/8841, dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.5505/5617 daripada 5.5178/5245 pada minggu sebelumnya.
Ringgit juga kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2489/2557 daripada 3.2146/2187, lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.35/7.37, dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.75249/72747 minggu lalu.
Bagaimanapun, ringgit meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/272.9 daripada 272.5/273.0 minggu lalu.
Sumber : astrowani