Proton e.MAS 7: Kenderaan Elektrik Pertama Proton Lalui Ujian Jalan Raya Menyeluruh

Fasa ini melibatkan enam unit Proton e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi seluruh Semenanjung Malaysia.
Fasa ini melibatkan enam unit Proton e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi seluruh Semenanjung Malaysia.

KUALA LUMPUR: Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) melancarkan fasa ujian tempatan yang menyeluruh untuk kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran pengeluar kereta nasional itu, Proton e.MAS 7.

PRO-NET, anak syarikat milik penuh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa fasa ini melibatkan enam unit Proton e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut syarikat tersebut, ujian ini bertujuan memastikan kenderaan tersebut sesuai dengan persekitaran khusus di Malaysia serta mengesahkan ketahanan, kebolehsuaian, dan kesesuaiannya dengan permintaan pasaran tempatan.

Proses ujian meliputi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS), dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT), serta penambahbaikan berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU), dan Sistem Telematik (TSP).

“Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT untuk menilai faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia, sementara sistem navigasi dalam kereta telah diperinci untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat. Kami juga mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, serta menguji sambungan rangkaian internet di laluan luar bandar, kawasan pergunungan, dan stesen kereta api,” kata mereka.

Baca juga : Kastam Perlis Sita Syabu Bernilai Lebih RM2 Juta Disorok Dalam Teh Cina

PRO-NET juga telah menyesuaikan komponen perisian utama untuk memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya bergantung pada terjemahan umum.

“Usaha kolaborasi antara PROTON dan Geely membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia. Ujian ketahanan kenderaan termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat untuk memastikan daya ketahanan kenderaan mematuhi spesifikasi tempatan,” kata syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qhiang, berkata ujian tempatan ini menandakan langkah penting ke arah penghasilan kenderaan yang bukan sahaja mewakili kemajuan teknologi tetapi juga menunjukkan komitmen syarikat dalam memenuhi keperluan khusus pasaran Malaysia.

“Pasukan kami komited memastikan Proton e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi dalam kualiti dan kebolehpercayaan, dan membuka jalan untuk pelancarannya,” katanya.

Proton e.MAS 7 akan melalui akreditasi Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi untuk penumpang. Selain itu, kereta tersebut juga akan melalui QRT untuk mencapai 100,000 kilometer dalam ujian pecutan, prestasi brek, dan penggunaan kuasa.

“Proton e.MAS 7 bukan sekadar model global biasa. Ia direka dengan teliti untuk memenuhi dan melangkaui jangkaan pemandu Malaysia,” kata syarikat tersebut.

Sumber : astroawani

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *