MODEL dan pelakon Sandra Lim memenuhi jangkaan apabila dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2024 dalam majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi ini menewaskan 15 finalis lain untuk meraih mahkota kemenangan.
Selain Sandra yang dinobatkan sebagai juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga Miss Universe Malaysia 2024 masing-masing adalah Gianna Tan dan Temara Inigo.
“Semuanya berlaku dengan begitu cepat. Saya, Sandra Lim, kini adalah Miss Universe Malaysia 2024 yang baru. Sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini, tetapi saya sangat bersyukur. Saya mengambil keputusan untuk menyertai Miss Universe Malaysia dengan sepenuh hati dan jiwa, berserah sepenuhnya kepada Tuhan.
Baca juga : Agong Terima Kunjungan Prabowo: Pertemuan Dua Sahabat Lama
Saya berharap ketekunan dan keazaman saya dalam mencipta perubahan dapat memberi inspirasi kepada anda untuk mengejar impian anda. Ini juga merupakan pencapaian besar bagi saya, di mana saya bersaing sebagai diri sendiri dan dengan diri sendiri. Saya telah banyak belajar tentang ketahanan, persahabatan, dan komitmen sepanjang proses ini,” tulisnya dalam hantaran khas di Instagram.
Dalam masa yang sama, Sandra turut mengungkapkan penghargaan kepada juara-juara terdahulu yang telah memberi inspirasi kepadanya.
“Kepada semua ratu dan wanita luar biasa yang telah mendahului saya, terima kasih kerana memberi inspirasi dalam pelbagai cara. Sandra tidak menyangka akan mendapat sokongan sebegini sejak dari awal lagi. Sandra amat terharu, teruskan menyokong perjalanan kami bersama @missuniversemalaysia menuju ke pertandingan antarabangsa!” tambahnya.
Kemenangan gadis cantik berusia 23 tahun itu turut menyaksikan Sandra akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa sekali lagi untuk Miss Universe ke-73 yang akan diadakan di Mexico pada bulan November nanti.
Sebelum ini, Sandra telah mengharumkan nama Malaysia apabila meraih gelaran naib juara dalam Miss Global 2022 di Indonesia.
Untuk pengetahuan, nama penuh Sandra adalah Sandra Lim Shue Hui. Kini bergelar peragawati, pelakon, dan hos, beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari City University dan telah menerima anugerah kecemerlangan pelajar semasa majlis graduasi.
Sekadar imbasan, wakil Malaysia terakhir yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir di pentas Miss Universe adalah pada tahun 1970 melalui perwakilan Josephine Lena Wong.
Sejak itu, lebih dari 53 tahun telah berlalu tanpa nama Malaysia disebut-sebut di pentas Miss Universe apabila wakil-wakil Malaysia sering kali gagal untuk menempatkan diri mereka.
Sumber : astroawani