Rakyat Palestin Ucap Terima Kasih kepada Malaysia atas Bantuan dan Sokongan

Sebanyak 41 rakyat Palestin bersama 86 orang waris mereka dibawa ke Malaysia pada 16 Ogos lalu untuk menerima rawatan susulan akibat kecederaan yang dialami akibat serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.
Sebanyak 41 rakyat Palestin bersama 86 orang waris mereka dibawa ke Malaysia pada 16 Ogos lalu untuk menerima rawatan susulan akibat kecederaan yang dialami akibat serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

KUALA LUMPUR: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas bantuan dan sokongan yang diberikan kepada rakyat Palestin,” kata Banan Salmi Ahmad Abu Ratimah, 28, ketika ditemui di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini.

Gadis yang berasal dari Rafah, Gaza, ini merupakan salah seorang daripada 41 rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia bersama 86 waris mereka pada 16 Ogos lalu untuk menerima rawatan susulan akibat kecederaan yang dialami akibat serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Beliau, yang juga seorang peguam di Gaza, mengalami kecederaan serius di kaki kiri yang terpaksa diamputasi hingga ke paras lutut, serta luka di tangan akibat serangan roket pemusnah rejim Zionis di kediaman ayah saudaranya pada 7 Oktober tahun lalu.

“Pada kejadian itu, saya dan ibu sedang tidur di rumah pakcik. Ketika subuh, rumah kami tiba-tiba dibom oleh rejim Zionis sehingga menyebabkan ibu dan pakcik saya terkorban. Saya sangat merindui Gaza kerana ayah dan abang saya masih berada di sana.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas bantuan yang diberikan. Rawatan yang kami terima di sini sangat baik dan cepat. Saya berharap dapat memperoleh kaki palsu supaya saya boleh berjalan seperti biasa,” katanya, yang kini sedang menerima rawatan susulan di HAT Tuanku Mizan bersama kakak sulung dan adik bongsunya.
Pada 16 Ogos lalu, sebanyak 41 rakyat Palestin yang mengalami kecederaan akibat serangan Israel di Gaza, bersama 86 waris mereka, tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia untuk menerima rawatan.

Baca juga : 51 Terbunuh, 200 Cedera Akibat Serangan Rusia di Poltava

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata bahawa rakyat Palestin yang sedang dirawat di Malaysia hanya akan dihantar pulang ke negara mereka apabila keadaan bertambah baik atau sekurang-kurangnya apabila gencatan senjata kekal dipersetujui semua pihak.

Sementara itu, Mohamed Sufyan Hassan, 29, yang mengalami kecederaan di rahang dan paru-paru akibat letupan di sebuah sekolah di Gaza yang dilakukan oleh rejim Zionis sehingga mengorbankan 70 orang termasuk datuknya, meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan ahli keluarganya di Gaza.

Pemandu lori dari Gaza itu berkata sejak tiba di Malaysia, beliau masih gagal menghubungi isteri dan empat anak lelakinya iaitu Malik berusia enam tahun, Mazin (lima tahun), Sufyan (tiga tahun), dan Abd Rahman (sembilan bulan) disebabkan capaian Internet yang lemah di Gaza.

“Tidak dapat digambarkan perasaan ini. Sekiranya saya boleh bertemu dengan mereka di sana, saya sangat merindui mereka, tetapi saya hanya mampu berserah kepada Allah. Saya berharap dapat membawa mereka ke sini untuk menerima rawatan,” katanya yang ditemani ibunya di sini.

Rania Abdel Fattah, 34, yang menerima rawatan susulan untuk kecederaan teruk di bahagian muka termasuk patah tangan dan kaki kanan akibat terkena serpihan bom, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia kerana memberikan layanan dan rawatan yang sangat baik kepada warga Palestin.

Menceritakan semula tragedi hitam apabila kediamannya dibedil rejim Zionis pada 13 Ramadan lepas, beliau berkata kejadian itu mengorbankan tiga ahli keluarganya, memusnahkan kediaman mereka, dan mencederakan suaminya serta anaknya yang berusia tiga tahun.

“Saya berharap Anwar dapat membantu membawa suami dan anak saya yang masih berada di Gaza untuk menerima rawatan di Malaysia. Anak saya di Gaza mengalami kecederaan teruk di muka tetapi tidak dapat menjalani rawatan di sini,” katanya sambil menitiskan air mata kerana merindui suami dan anaknya.

Bagi Zain Suhail Saad, 10, yang juga antara 41 warga Palestin yang dibawa ke Malaysia untuk rawatan, peluang menjejakkan kaki ke negara ini adalah sesuatu yang sangat diimpikannya walaupun tujuannya hanya untuk rawatan.

“Saya mengenali Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan tahu tentang Malaysia melalui Internet. Apabila tiba di sini, suasananya adalah seperti yang saya lihat di telefon. Saya berharap peperangan ini akan berakhir supaya ayah saya dapat datang ke sini untuk mengambil saya kerana saya merindui dia,” katanya yang kini sedang menjalani rawatan dialisis di HAT Tuanku Mizan.

Ibu kepada Zain Suhail, Nisrin Saad, 38, pula berkata pada mulanya beliau bimbang mengenai keselamatan anaknya apabila dipilih untuk menerima rawatan di Malaysia, tetapi perasaannya bertukar syukur setelah melihat fasiliti kesihatan yang disediakan di HAT Tuanku Mizan.

Sumber : astroawani

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *