KUALA LUMPUR: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang mencari seorang wanita warga India yang hilang selepas terjerlus di Jalan Masjid India, kini menggunakan teknik ‘jetting’ atau semburan bertekanan tinggi di lurang kumbahan berhampiran bangunan Wisma Yakin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata teknik ini digunakan selepas pasukan SAR mendapati terdapat objek keras yang tersekat dalam lurang kumbahan ketika operasi dijalankan antara pukul 3 pagi dan 6 pagi Isnin.
“Setakat ini, tiada petunjuk ditemui dan Indah Water Konsortium (IWK) menggunakan teknik ‘jetting’, iaitu penyemburan air bertekanan tinggi, untuk memecahkan objek keras yang berada dalam paip pembetungan di lokasi kejadian.
Baca juga : Kapal TLDM Tenggelam Selepas Melanggar Objek Bawah Air, 39 Kru Selamat
“Kita kini memberi tumpuan pada manhole di Wisma Yakin kerana pada awal pagi tadi, kita menggunakan kamera crawler yang dimasukkan ke dalam pembetungan di Wisma Yakin dan mendapati serpihan batu keras dalam jarak empat meter. Teknik jetting digunakan untuk memecahkan serpihan tersebut, supaya apabila pecah, air akan mengalir ke bawah dan membolehkan objek, termasuk badan manusia, melepasi laluan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Sulizmie Affendy juga mengulas mengenai teknik ‘flushing’ yang telah dijalankan sejak Ahad, menyatakan bahawa ia masih diteruskan melibatkan 10 lurang kumbahan.
Beliau menambah bahawa sebuah pasukan khas yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah ditubuhkan untuk menjalankan kajian struktur tanah, khususnya di sekitar kawasan kejadian.
Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Sumber : astroawani