BANDAR PENAWAR: Kesemua 39 kru Kapal Diraja (KD) Pendekar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghadapi saat cemas apabila sebahagian besar kapal tersebut tenggelam selepas mengalami kebocoran, dua batu nautika tenggara Tanjung Penyusop, Johor pada Sabtu.
Menurut kenyataan Markas TLDM pada Ahad, kejadian yang berlaku semasa penugasan operasi sekitar jam 12 tengah hari itu dipercayai disebabkan oleh pelanggaran dengan objek di bawah air.
Semua kru telah berjaya diselamatkan, dan fokus utama TLDM kini adalah untuk menjalankan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal tersebut. Kebocoran yang mula dikesan di bilik jentera kapal merebak dengan cepat dan tidak dapat dikawal. Usaha untuk mengawal kebocoran dan menstabilkan kapal tidak berjaya.
Baca juga : TMJ: ‘Kami Tidak Memberi Janji Kosong
“TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas secepat mungkin untuk mengenal pasti punca kejadian,” menurut kenyataan itu lagi.
TLDM turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam memberikan bantuan segera terhadap insiden tersebut, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan komuniti maritim di kawasan sekitar.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini dan boleh merujuk kepada sumber rasmi TLDM untuk perkembangan terkini dan maklumat sebenar.
Sumber : astroawani