KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah bersetuju untuk melepaskan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani, yang memutuskan untuk meninggalkan badan induk sukan tersebut mulai 1 September ini.
Setiausaha Agong BAM, Kenny Goh, menyatakan bahawa BAM menghormati keputusan pasangan yang berada di kedudukan ke-12 dunia itu untuk meneruskan kerjaya mereka sebagai pemain profesional selepas ini.
“Saya pasti anda sudah mengetahui bahawa mereka memohon untuk bergerak secara bebas. Setelah perbincangan, kami memahami dan menghormati keputusan mereka untuk meneruskan kerjaya secara profesional, dan kami telah bersetuju untuk melepaskan mereka pada 1 September,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Baca juga : Tanah Menurun di Masjid India: Polis Sarankan Peniaga Tutup Sementara untuk Elak Risiko Gas Beracun
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Sze Fei dan Nur Izzuddin bercadang untuk meninggalkan BAM dan meneruskan kerjaya mereka sebagai pemain profesional. Sze Fei dan Nur Izzuddin pernah berpisah pada Januari tahun lalu sebelum disatukan semula enam bulan kemudian.
Pasangan ini baru sahaja berjaya melangkah ke final Terbuka Jepun 2024 setelah menewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Bagas Maulana, dengan keputusan 21-19, 21-17 pada aksi separuh akhir di Arena Yokohama sebentar tadi.
Sumber : astroawani