Apple telah menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha membangunkan modem sendiri, termasuk prestasi yang kurang memuaskan serta tindakan saman oleh Qualcomm atas pelanggaran paten. Untuk menyelesaikan isu saman tersebut, Apple bersetuju untuk terus menggunakan modem keluaran Qualcomm sehingga tahun 2027.
Menurut laporan Bloomberg, selepas usaha selama sepuluh tahun, Apple kini bersedia untuk menggunakan modem rekaan sendiri bermula pada tahun 2025. Modem ini akan digunakan terlebih dahulu pada model yang bukan mercu, mungkin pada iPhone SE baharu yang dilaporkan telah dibatalkan pelancarannya awal tahun ini. Pendekatan ini diambil bagi memastikan sebarang masalah prestasi selular dapat diselesaikan sebelum digunakan pada model iPhone mercu.
Baca juga : Twitch Perkenalkan ‘Video Stories’, Bersaing dengan Instagram dan TikTok
Salah satu sebab Apple membangunkan modem sendiri adalah untuk mengurangkan kos yang dikenakan oleh Qualcomm serta penggunaan teknologi berkaitan. Pelan jangka pendek Apple adalah untuk menghasilkan modem kendiri yang lebih mampu milik, diikuti dengan pelan jangka sederhana untuk menggabungkan modem dengan cip WiFi dan Bluetooth bagi mengurangkan penggunaan bateri. Akhir sekali, pelan jangka panjang Apple adalah untuk menggabungkan semua komponen ini ke dalam satu SOC (System on Chip) yang akan membolehkan penjimatan kuasa yang lebih besar dan penggunaan ruang yang lebih efisien dalam peranti.
Sumber : astroawani