KUALA LUMPUR : Gabungan pemerintah Thailand pada Khamis telah bersetuju mencalonkan Paetongtarn Shinawatra sebagai calon Perdana Menteri negara itu menjelang hari pengundian di Parlimen yang dijadualkan pada Jumaat.
Pengumuman ini dibuat sehari selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand melucutkan Srettha Thavisin daripada jawatan Perdana Menteri akibat kes pelanggaran etika.
“Hari ini (Khamis), bagi pihak Parti Pheu Thai dan kerajaan campuran, kami bersatu. Selepas Parti Pheu Thai mengadakan mesyuarat eksekutif, kami mencalonkan Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31,” kata Setiausaha Agung Pheu Thai, Sorawong Thienthong seperti dilaporkan Reuters.
Paetongtarn, berusia 37 tahun, merupakan anak perempuan bongsu kepada bekas Perdana Menteri Thailand yang juga seorang jutawan, Thaksin Shinawatra. Thaksin adalah ahli politik Thailand pertama yang memenangi majoriti keseluruhan kerusi.
Baca juga : Suspek Pembunuhan Tiga Sekeluarga Ditahan, Ditemui Berkeliaran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Jika Paetongtarn diluluskan dengan undian Parlimen, beliau akan menjadi Perdana Menteri wanita kedua Thailand, dan pemimpin ketiga negara itu daripada keluarga Shinawatra selepas bapa dan ibu saudaranya, Yingluck Shinawatra.
Sebelum ini, Pheu Thai yang merupakan parti terbesar dalam kerajaan sementara Thailand, telah bermesyuarat untuk memilih pengganti Srettha.
Pemecatan Srettha oleh Mahkamah Perlembagaan pada Rabu mencetuskan kembali drama politik, kurang setahun selepas hartawan itu memegang tampuk kepimpinan. Srettha adalah Perdana Menteri keempat parti itu yang disingkirkan menerusi keputusan mahkamah.
Sumber : astroawani