MUAR: Suspek utama yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan dan pembakaran rumah keluarganya yang menyebabkan kematian ibu bapa serta anak saudaranya di Kampung Paya Redan, Pagoh pada Jumaat lalu telah direman di Mahkamah Majistret Muar hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Fatin Dalilah Khalid bermula hari ini sehingga 20 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Suspek, yang berjaya ditangkap selepas lima hari menghilangkan diri, dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar sekitar pukul 9.13 pagi tadi dengan kawalan ketat oleh pegawai dan anggota polis. Lelaki yang masih bujang itu difahamkan ditahan ketika sedang merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sekitar pukul 1 pagi tadi. Penahanan itu dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas menerima maklumat awam.
Dalam kejadian tragis yang meragut nyawa tiga ahli keluarganya pada Jumaat lalu, suspek dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di Hentian Bas Bentayan, sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Baca juga : Turkiye Rancang Ambil Cap Jari Pelawat yang Memasuki Negara
Dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu, pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11, maut selepas rumah mereka terbakar. Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Insiden itu juga menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF. Kanak-kanak berusia 11 tahun itu telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan manakala jenazah datuk dan neneknya masih belum dapat dituntut sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaannya yang rentung lebih 80 peratus.
Polis yang pada awalnya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut telah menukar siasatan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut.
Sumber : astroawani