KUALA LUMPUR: Kumpulan MR DIY Group (M) Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM155.21 juta bagi suku kedua tahun kewangannya yang berakhir pada 30 Jun lalu, meningkat daripada RM150.32 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. Pendapatan juga menunjukkan peningkatan marginal kepada RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion dalam tempoh perbandingan yang sama.
Ini menjadikan pendapatan sesahamnya meningkat kepada 1.64 sen, dan lembaga pengarah kumpulan itu mengumumkan dividen sebanyak 1.20 sen sesaham.
Bagi perbandingan separuh tahun, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM300.09 juta daripada RM278.09 juta pada separuh tahun 2023, manakala pendapatannya meningkat kepada RM2.34 bilion daripada RM2.15 bilion dalam tempoh yang sama.
Baca juga : iPhone 17 ‘Air’ Bakal Menampilkan Rekaan Lebih Nipis
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, prestasi kumpulan dijangka akan dipacu oleh pemulihan sentimen pelanggan, yang didorong oleh petunjuk ekonomi yang positif, pemulihan nilai ringgit, dan kemasukan pelaburan langsung asing.
“Kami telah berjaya dalam usaha strategik kami untuk terus membina perniagaan yang memberikan pulangan yang konsisten dan mampan kepada pemegang saham, dan rekod prestasi kami menerusi pembayaran dividen sejak penyenaraian kami pada 2020 mencerminkan perkara ini,” katanya.
Sumber : astroawani