MOSCOW: Infrastruktur Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) mengalami kerosakan serius buat kali pertama sejak serangan dan pengeboman oleh tentera Ukraine bermula, lapor Xinhua.
“Infrastruktur Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia buat kali pertama mengalami kerosakan serius akibat serangan oleh Angkatan Tentera Ukraine,” kata Pengarah Komunikasi ZNPP, Yevgenia Yashina, seperti yang dipetik oleh Agensi Berita TASS Rusia pada Ahad.
Beliau mendakwa bahawa serangan itu dilakukan oleh Ukraine menggunakan dron kamikaze.
Walaupun terdapat kerosakan dan kebakaran di kemudahan sistem penyejukan, Yashina menyatakan bahawa operasi loji tersebut tidak terjejas.
Baca juga : Indonesia mengadakan mesyuarat Kabinet pertama di ibu negara baharu Nusantara
“Menara penyejuk digunakan untuk penyejukan, tetapi pada masa ini, unit reaktor ditutup dan menara itu tidak digunakan. Kolam semburan adalah mencukupi untuk tujuan penyejukan pada masa ini,” katanya.
Terdahulu, gabenor wilayah Zaporizhzhia, Yevgeny Balitsky, mendakwa bahawa sistem penyejukan ZNPP terbakar akibat serangan oleh Ukraine.
Beliau memberi jaminan bahawa kesemua enam unit reaktor di loji tersebut berada dalam keadaan tertutup.
Ketika pihak Rusia menuduh Kyiv sengaja cuba memusnahkan loji berkenaan dan mencetuskan “insiden nuklear,” pengendali tenaga nuklear milik kerajaan Ukraine, Energoatom, mendakwa bahawa kecuaian atau perbuatan khianat Rusia mungkin menyebabkan kebakaran tersebut.
Sumber : astroawani