MEDAN : Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami detik cemas apabila dia ditembak oleh individu tidak dikenali ketika memasang sepanduk di pekarangan Pejabat Pos Belawan Bahagia, Kecamatan Medan Belawan pada Khamis.
Kejadian berlaku semasa Riski Pohan, 16, bersama rakannya sedang memasang sepanduk ucapan ‘Dirgahayu Kemerdekaan Indonesia’. Tiba-tiba, sebuah van putih berhenti di seberang jalan bertentangan dengan pejabat pos tersebut.
“Kira-kira jam 2:30 petang, seorang penumpang yang duduk di kerusi belakang membuka tingkap van, kemudian menembak mangsa dan kawan-kawannya. Mangsa terkena tembakan di bahagian belakang sebelah kanan,” kata Ketua Polis Pelabuhan Belawan AKBP Janton Silaban pada Jumaat.
Baca juga : Rugi RM120,000 Ditipu ‘Scammer’ Menyamar sebagai Anggota AMLA
Tambah Janton, selepas insiden tersebut, van itu segera meninggalkan lokasi. Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh rakan-rakannya dan dirujuk ke hospital pakar Haji Adam Malik Medan.
Jelas Janton lagi, berdasarkan keterangan saksi, mangsa memasang sepanduk atas arahan Ketua Ranting Pemuda Pancasila Belawan Bahagia, Amat Klewang.
“Dalam kejadian itu, pelaku melepaskan tembakan sebanyak tujuh kali. Kami sedang melakukan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan sedang mencari suspek,” katanya.
Sumber : astroawan