Seorang wanita maut dalam runtuhan rumah setelah dirempuh sebuah treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan awal pagi ini. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 4.46 pagi.
Beliau menyatakan bahawa sebanyak 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan serta Peramu telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Menurut Ismail, operasi mencari dan menyelamat mangsa di runtuhan dijalankan sebelum pihaknya menemukan mangsa di bahagian bawah hadapan treler itu.
Baca juga : Wisma Putra Sarankan Rakyat Malaysia Tangguh Lawatan Tidak Penting ke Dhaka
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan jenazahnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa tiga mangsa, termasuk pemandu treler, mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Pekan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber : astroawani