Selepas melalui tujuh perlawanan, Penang FC akhirnya meraih kemenangan pertama di laman sendiri dengan membenam Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi.
Bermain di hadapan 1,543 penyokong, Penang FC memulakan perlawanan dengan agresif seawal minit permainan dengan beberapa percubaan ke arah pintu gol pasukan pelawat.
Gol pertama tercipta pada minit ke-12 melalui tandukan pemain import dari Brazil, Rodrigo Da Silva Dias, hasil hantaran daripada pemain pertahanan Fairuz Zakaria.
KDN FC, yang berusaha keras untuk mendapatkan jaringan, cuba bangkit tetapi ketangkasan pemain tuan rumah berjaya menyekat serangan pasukan lawan.
Baca juga : Festival Keris dan Warisan Kelantan Diserikan oleh Keris Tok Chu
Pada minit ke-19, skuad Harimau Kumbang hampir menambah jaringan, namun percubaan pemain tengah, Muhammad Izzat Zikri Izziruddin, tersasar ke sebelah kiri pintu gol KDN FC.
Penang FC terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat menjaringkan gol kedua pada minit ke-34 hasil hantaran daripada Dias.
Menjelang minit ke-41, KDN FC cuba merapatkan jurang melalui serangan dari pemain pertahanan Adam Danial Md Zaid, tetapi percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan.
Memasuki babak kedua, pasukan kendalian Ahmad Rizal Ahmad Rakhili menggandakan serangan dan mendapat sepakan penalti pada minit ke-75 selepas kapten pasukan, Rafael Vitor, dijatuhkan dalam kotak penalti.
Vitor tidak mensia-siakan peluang tersebut dan menjaringkan gol ketiga, yang juga merupakan gol pertama beliau bersama pasukan, dalam penampilan ke-100nya.
Gol itu sekaligus memastikan kemenangan buat Penang FC, yang kini melonjak ke tangga ketujuh dengan sembilan mata. Sementara itu, KDN FC masih mencari kemenangan dan terus berada di kedudukan tercorot liga dengan tiga mata.
Sumber : astroawani